MUZIK: HUKUM DAN KEDUDUKANNYA PADA PANDANGAN SYARAK


Oleh: Ustaz Ridhwan Hj Hashim
BA (Univeristi Al-Azhar), MA (UKM)
Bekas Imam Masjid Subang Jaya, Selangor.

MUQADDIMAH

Muzik pada umumnya merupakan alat-alat tertentu yang timbul daripadanya alunan bunyi dan irama sama ada ia berbentuk yang dipukul atau dipalu seperti gendang, rebana dan lain-lain atau yang ditiup seperti seruling, serunai, trompet dan lain-lain atau yang dipetik seperti gambus, gitar, biola dan seumpamanya. Kedudukan hukum muzik ini bergantung kepada apa jenis alat dan penggunaannya kerana ada diantaranya yang diharamkan oleh syarak dan ada pula diharuskan. Oleh itu kedudukan hukum muzik itu sendiri akan tertakluk kepada perkara-perkara berikut:

a) Menggunakan alat-alat muzik yang dilarang oleh syarak, maka kedudukan muzik itu adalah haram.

b) Menggunakan alat-alat muzik yang diharuskan oleh syarak, maka kedudukannya adalah harus seperti memukul ghirbal (sejenis rebana) sewaktu perkahwinan.

c) Bermain alat muzik yang harus, namun telah dicampur dengan perkara-perkara yang haram seperti nyanyian-nyanyian oleh golongan wanita dalam keadaan mendedahkan aurat di hadapan golongan lelaki ajnabi atau bukan mahram dengan suara yang merdu, lirik lagu yang mengandungi unsur-unsur cinta asmara, percampuran dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, disertai dengan arak, judi dan sebagainya. Para ulamak telah sepakat menghukumkan bermain alat muzik dalam keadaan seperti ini adalah haram.

Persoalan yang timbul sekarang ialah yang mana satukah alat muzik yang diharamkan oleh syarak dan mana satu yang diharuskan. Adakah semua alat muzik itu diharamkan atau semuanya diharuskan atau sebahagiannya diharamkan dan sebahagiannya pula diharuskan. Adakah pengharaman itu ke atas alat-alat muzik itu sendiri atau kerana faktor-faktor luar yang beserta dengan alat-alat muzik tersebut. Inilah yang akan kita bahaskan di dalam risalah yang kecil dan ringkas ini.

PANDANGAN ULAMAK MENGENAI ALAT MUZIK

Terdapat pelbagai pandangan di kalangan ulamak mengenai perkara di atas. Mereka tidak sepakat mengenainya disebabkan perbezaan pandangan dalam memahami hadis-hadis yang menyebut mengenai alat-alat muzik dan juga dari segi penentuan kedudukan martabat hadis-hadis yang diriwayatkan mengenainya.

Golongan Ulamak Yang Pertama


Sebahagian ulamak mengharamkan hampir semua bentuk alat-alat hiburan atau muzik. Mereka berdalilkan kepada beberapa hadis yang menyebut tentang alat-alat muzik yang ditegah oleh syarak sepertimana berikut:

a) Diriwayatkan oleh Abu Umamah r.a. bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang bermaksud:

Bahawa Allah ‘Azza wa Jalla telah membangkitkan Aku menjadi Nabi dengan membawa hidayat dan rahmat kepada orang-orang mukminin dan Allah telah memerintahkan Aku supaya menghapuskan alat ma’azif (alat bunyi-bunyian), alat-alat mazamir (seperti seruling) dan alat-alat awtar (alat-alat muzik bertali), salib dan perkara-perkara jahiliah ………..( hingga ke akhir hadis ).
( Riwayat Abu Daud al Thoyalisi )

Hadis ini diriwayatkan oleh al Imam Abu Daud al Thoyalisi dan lafaz hadis ini dari riwayatnya dan juga diriwayatkan oleh al Imam Ahmad bin Hanbal. Ahmad bin Mani’Al Harits Ibnu Abu Usamah pula meriwayatkan dengan lafaz yang bermaksud:

Bahawa Allah Azza wa Jalla telah membangkitkan Aku (menjadi Nabi) dengan membawa rahmat dan hidayat kepada sekelian alam dan Allah memerintahkan Aku supaya menghapuskan mazamir, ma’azif, arak dan berhala-berhala yang disembah pada zaman jahiliah ……..( hingga ke akhir hadis ).

Hadis Abu Umamah ini terdapat pada rawinya Ali bin Yazid al Ilhani dan dia adalah lemah keadaannya, tetapi oleh kerana ia disokong oleh sumber yang lain seperti hadis Ibnu Mas’ud dan lain-lain sahabat maka hadis ini menjadi kuat. Antara hadis yang menyokong hadis itu juga ialah hadis riwayat Ibnu ‘Abbas r.a. yang telah berkata:
الكوبة حرام والدن حرام والمعازف حرام والمزامير حرام
Maksudnya: Kubah itu haram, dannu itu haram, ma’azif itu haram dan alat muzik jenis bertiup itu haram. (lihat bentuk gambar yang dilampirkan)

Hadis ini diriwayat oleh al Imam Musaddad dan al Imam al Baihaqi dalam al Sunan al Kubra secara mauquf dan diriwayatkan oleh al Bazzar secara marfu’.

b) Dari Ibnu ‘Abbas r.a. bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud: Aku diperintahkan untuk merobohkan alat gendang dan alat hiburan yang ditiup.
Dikeluarkan oleh al Dailami

c) Daripada Ibnu ‘Abbas r.a. bahawa Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang bermaksud: Apabila tiba hari kiamat, Allah Azza wa Jalla berfirman: Mana mereka yang menjauhkan pendengaran dan pemandangan mereka daripada alat-alat permainan syaitan? Asingkan mereka…..(hingga ke akhir hadis)
Dikeluarkan oleh al Dailami

Berkata al Imam Ibnu Hajar, hadis ini jelas menunjukkan pengharaman alat-alat hiburan yang mendatangkan sukaria dan gembira yang membawa kepada kelalaian.


d) Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang berkmasud: Satu kumpulan daripada umatKu pada akhir zaman, ditukarkan mereka menjadi monyet-monyet dan babi-babi. Sahabat bertanya: Ya Rasulullah, adakah mereka orang-orang Islam ? Sabda Baginda: Ya, mereka mengucap dua kalimah syahadah iaitu mengaku bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa Aku adalah pesuruh Allah dan mereka mengerjakan puasa. Para sahabat bertanya: Mengapa mereka menjadi begitu, ya Rasulullah? Sabda Baginda: Mereka bermain dan berhibur dengan alat-alat bunyian dan penyanyi-penyanyi wanita dan dengan rebana serta mereka minum berbagai jenis arak dan mereka bermalam dengan minuman mereka dan hiburan riuh rendah mereka, maka pada pagi hari mereka telah ditukarkan rupa menjadi monyet dan babi.

Hadis ini diriwayatkan oleh al Imam al Musaddad dan Ibnu Hibban dengan lafaznya yang bermaksud: Telah bersabda Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam: Tidak berlaku hari kiamat sehingga ada satu kumpulan……..(hingga ke akhir hadis sebagaimana riwayat di atas ).

e) Sabda Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam yang bermaksud: Akan berlaku pada umatKu oleh beberapa kumpulan atau kaum menghalalkan zina, sutera (dipakai oleh kaum lelaki), arak dan ma’azif (alat-alat bunyi-bunyian).
(Hadis Riwayat al Bukhari dan Abu Daud)

Demikianlah beberapa hadis yang menjadi dalil kepada sebahagian ulamak yang mengaharamkan alat-alat hiburan (muzik).

Dalam kitab al Muhazzab oleh al Imam Abu Ishak al Syirazi ada menjelaskan bahawa bermain alat-alat muzik itu haram sekalipun tidak diiringi dengan lagu. Kata al Syirazi:

ويحرم إستعمال الألات التى تطرب من غير غناء كالعود والطنبور والمعزفة والطبل والمزمار
Ertinya: Dan diharamkan menggunakan alat-alat (muzik) yang dibunyikan tanpa ada lagu seperti gitar, thunbur, ma’zifah, thabl (gendang) dan mizmar.

Adapun dalilnya ialah firman Allah yang bermaksud: Dan ada di antara manusia yang membeli “ Lahwa al Hadis ” bagi tujuan menyesatkan manusia daripada jalan Allah..
( Surah Luqman: 6 )

Berkata Ibnu Abbas: “ Lahwa al Hadis ” sesungguhnya itulah alat-alat hiburan.

Al Imam al Nawawi mengatakan dalam kitabnya al Minhaj dalam Kitab al Syahadat:

ويكره الغناء بلا آلة وسماعه ويحرم استعمال آلة من شعار الشربة كطنبور وعود وصنج
ومزمار عراقي واستماعها.
Ertinya: Makruh menyanyi dengan tidak disertai alat (muzik) dan mendengarnya. Dan adalah haram menggunakan alat (muzik) yang menjadi syiar peminum-peminum (arak) seperti thunbur, gitar, shanj dan mizmar ‘iraqi dan haram mendengarnya.

Demikianlah pandangan beberapa orang ulamak besar dalam mazhab syafi’e mengenai hukum menggunakan muzik dan mendengarnya. Pandangan yang sama juga dikemukakan oleh beberapa ulamak besar yang lain seperti al Syeikh Ibnu Hajar dalam kitabnya al Zawajir dan juga al Imam al Ramli al Syafi’e sebagaimana tercatat dalam kitab Nihayah al Muhtaj ila Syarh al Minhaj (8/296), yang menggambarkan inilah pandangan umum dan masyhur dalam mazhab syafi’e.

Ulama-ulama dalam mazhab syafi’e bukanlah satu-satunya mazhab yang mengharamkan hampir kesemua alat-alat muzik, bahkan didapati mazhab-mazhab yang lain seperti Hanafi dan Hanbali juga berpandangan sedemikian.

Berkata Ibnu al Qayyim dalam kitabnya Ighathah al Luhfan min Masyahid al Syaithan (1/255-256): Ertinya: Mazhab Abu Hanifah dalam perkara ini adalah mazhab yang paling keras dan kata-katanya mengenai perkara ini adalah kata-kata yang paling tegas. Para sahabat Abu Hanifah dengan tegas mengatakan haram mendengar semua jenis alat hiburan seperti seruling, kompang bahkan termasuk memukul-mukulkan tongkat kecil (cota) sekalipun. Mereka dengan tegas menyatakan bahawa ianya adalah maksiat, boleh membawa kepada fasiq dan kesaksian ditolak.

Dalam Mazhab Hanbali, berkata Imam Ibnu Qudamah al Hambali dalam al Mughni yang boleh disimpulkan sebagaimana berikut:

Hiburan itu tiga keadaan:

a) Haram- iaitu memetik tali-tali alat permainan dan alat-alat yang ditiup, memalu gambus,thunbur dan lain-lain alat hiburan. Sesiapa yang sengaja mendengarnya maka ditolak kesaksiannya kerana diriwayatkan daripada Saiyyidina Ali r.a. bahawa Nabi Sollallahu ‘alaihiwasallam bersabda yang maksudnya: Apabila telah nyata pada umatKu lima belas perkara nescaya bala akan menimpa mereka. Maka Baginda menyebutkan di antaranya: Muncul alat-alat nyanyian dan alat-alat hiburan.

b) Harus- iaitu duff (kompang), kerana Nabi Sollallahu ‘alahi Wasallam telah bersabda yang maksudnya: Zahirkanlah kerja perkahwinan itu kepada orang ramai dan kamu palulah kompang padanya.

c) Makruh- iaitu memalu kayu pada kayu apabila tidak dicampur dengan perkara haram atau makruh.

Berkata al Imam al Sayyid ‘Alwi al Maliki al Husni: Ketahuilah bahawa alat-alat hiburan yang mempunyai tali seperti rabab, gitar dan qanun haram mendengarnya dan haram memainkannya mengikut pendapat yang masyhur dari mazhab yang empat dan wajib mengingkarinya (mendengar alat-alat tersebut) dan memberikan nasihat mengenainya. Adapun memukul rebana tidaklah mengapa dalam majlis pernikahan berdasarkan hadis Nabi Sollallahu ‘alaihi Wasallam yang bermaksud: Iklankanlah pernikahan dan kamu pukullah rebana (al Duff) di atas pernikahan itu. Namun tidak harus memukulnya selain daripada majlis pernikahan menurut pendapat yang masyhur tetapi lawan pendapat yang masyhur, harus memukul (alat rebana) dalam semua upacara majlis kegembiraan orang-orang Islam.



Kredit sumber

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...