Bismillah.
Subhanallah Alhamdulillah Allahuakbar.
Betapa pentingnya solat salam kehidupan seorang muslim.
Tahukah sahabat2 ada cara yang khusus untuk tetap solat berjemaah ketika menghadapi peperangan?
Malangnya jarang pula kita didedahkan tentang solat semasa tempoh genting seperti peperangan & berjaga2 kerana peperangan.
Seharusnyalah kita menerima pendedahan umum even negara kita bukan negara yg berperang atau akan berperang, tapi esok lusa belum pasti. Manalah tahu dapat seru jadi askar pengaman ke? Kena bom tetiba ke?
Mana sempat nk kursus solat bagai nih? Kan?
Jom layan ilmu solat yang jarang didedahkan kat kita. Saya pun baru tahu la-ni jer pun..hihihi...
SEMBAHYANG KHAWF (KETIKA TAKUT)
Sembahyang khawf ialah sembahyang fardhu yang didirikan ketika berlaku peperangan. Ia istimewa daripada sembahyang lain disebabkan beberapa rukhsah (kemudahan) yang diberikan terutamanya ketika berjama‘ah.
Sembahyang khawf mempunyai dua keadaan berdasarkan keadaan peperangan yang berlaku, iaitu:
1. Keadaan berjaga-jaga dan peperangan belum tercetus.
2. Ketika peperangan tercetus, saf-saf bertaburan dan suasana membimbangkan.
KEADAAN BERJAGA-JAGA DAN PEPERANGAN BELUM TERCETUS
Bagi keadaan ini terdapat dua cara yang berbeza dengan sebab perbezaan kedudukan musuh:
1. Ketika musuh berada dan terkawal pada arah qiblat dan peperangan belum lagi tercetus. Imam hendaklah menyusun tentera kepada dua saf, empat atau lebih dan bersembahyang bersama-sama dengan mereka. Apabila imam sujud, saf yang berada di belakang imam hendaklah turut sujud bersama dengan imam. Manakala yang baki hendaklah menjaga rakan-rakan mereka yang sedang sujud daripada gerakan musuh. Apabila imam dan saf yang sujud bersamanya bangun, maka saf yang berdiri tadi hendaklah sujud sehingga mereka bersama dengan imam ketika duduk tasyahhud. Selepas itu semuanya memberi salam bersama dengan imam. Inilah cara sembahyang yang dilakukan oleh Rasulullah dalam peperangan Asfan.
2. Ketika musuh bertebaran, bukan berada di arah qiblat dan peperangan belum lagi tercetus. Cara sembahyang yang disunatkan dalam keadaan tersebut ialah seperti berikut:
a) Tentera yang bersembahyang dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu kumpulan pertama berdiri ke arah musuh kerana mengawal dan menjaga orang-orang Islam dan kumpulan kedua pergi menunaikan sembahyang secara berjama‘ah bersama-sama imam.
b) Imam bersembahyang bersama dengan kumpulan kedua hingga selesai satu raka‘at. Apabila imam berdiri pada raka‘at kedua, para ma’mum hendaklah berniat mufaraqah (bercerai daripada imam) dan mereka menyempurnakan raka‘at kedua secara sendiri. Kemudian mereka pergi ke tempat kumpulan pertama yang sedang berjaga.
c) Kumpulan pertama yang berjaga datang pula mengikut imam dan imam semestinya berdiri lama pada raka‘at kedua sekadar kumpulan pertama sempat berdiri bersamanya. Imam bersembahyang dengan mereka pada raka‘at kedua yang merupakan raka‘at pertama jika dinisbahkan kepada ma’mum. Apabila imam duduk untuk tasyahhud, mereka bangun menyempurnakan raka‘at kedua sehingga mereka duduk dalam keadaan imam masih membaca tasyahhud. Kemudian imam memberi salam bersama-sama mereka.
KETIKA PEPERANGAN TERCETUS, SAF-SAF BERTABURAN DAN SUASANA MEMBIMBANGKAN
Apabila berlaku keadaan tersebut, maka tidak ada cara tertentu untuk ditunaikan sembahyang. Bahkan setiap orang menunaikan sembahyang mengikut keadaan yang mengizinkan mereka mendirikannya sama ada dalam keadaan berdiri, menunggang, berjalan kaki atau berhenti, sama ada menghadap qiblat atau tidak. Ruku‘ dan sujud dilakukan dengan isyarat atau dengan menggerakkan kepalanya sebagai isyarat kepada ruku‘ dan sujud dengan menjadikan sujud lebih rendah daripada ruku‘.
Sumber
Berikut link video penjelasan solat dalam keadaan khauf:
No comments:
Post a Comment